:
PENGENALAN


Madrasah Uthmaniah (ABIM) ditubuhkan pada tahun 2003 dan didaftar secara rasmi dengan Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang pada 2009 dengan nombor pendaftarannya JAIPP/PEND/02-TL- (R)015. Nama madrasah diambil bersempena nama pewakaf tanah iaitu Almarhum Tuan Haji Osman Omar seorang aktivis ABIM yang sangat komited sehingga mendapat pengiktirafan oleh ABIM Pusat sebagai tokoh Abdul Rahman Al Auf pada tahun 2007.

Madrasah ditubuhkan hasil resolusi Bengkel Perancangan 10 Tahun Institusi Pendidikan ABIM Pulau Pinang pada 3 dan 4 Ogos 2002 selaras dengan aspirasi pimpinan ABIM Negeri dan Pusat ketika itu yang ingin memperkasakan agenda dakwah melalui bidang pendidikan yang bersepadu.

Madrasah Uthmaniah bermula dengan menawarkan program Taman Asuhan Kanak-kanak Islam ( TASKI ) pada tahun 2003, Kelas Al Quran dan Fardhu Ain (TAHFIZ) pada tahun 2004, Akademi Pengajian Islam (APIM) pada tahun 2005, Sekolah Rendah Islam (SERI) pada 2009 dan Weekend Islamic School (WISe) pada tahun 2011. SERI ABIM Pulau Pinang merupakan SERI yang pertama melaksanakan program Tahfiz dan Akademik di peringkat rendah yang bermatlamat melahirkan para cendiakawan yang menghafaz Al Quran. Madrasah Uthmaniah berbangga kerana berupaya menawarkan konsep pendidikan sepanjang hayat di mana semua peringkat umur berpeluang mendapat ilmu dari kewujudannya. Selain itu memberi peluang kepada masyarakat Islam membuat amal jariah ( wakaf, zakat, sedeqah dan lain-lain ) melalui bidang pendidikan.